Featured

Bagaimana Menganalisis Peta Membantu Rancangan Perjalanan Kita Ke New Zealand ?

KIA ORA kepada semua pencinta negara Heaven On Earth iaitu New Zealand. Engraved In My Heart. Begitulah perumpamaannya sejak pulang dari mengembara ke negara Kiwi  selama hampir dua minggu, bermula pada 19th October 2016, tiga tahun lepas. Pengalaman yang sentiasa terpahat di sudut hati.

Malah, sejak pulang ke tanah air, seakan ada suatu kuasa metafizik yang sering meronta-ronta memanggil aku kembali ke sana.Alhamdulillah, dengan izinNYA sekali lagi aku ditakdirkan  kembali ke negara impianku New Zealand,  juga pada bulan yang sama October 2019.Tetapi kali ini dengan misi yang sedikit berbeza. Aku akan mengikuti Ground Training ke New Zealand anjuran Projek Tour Leader.

Walau apa juga misi, terima kasih Ya Allah kerana mendengar rintihan doaku buat ke sekian kalinya untuk melawat lagi negara yang sentiasa aku rindui .Kali ini aku akan datang dengan niat untuk menimba ilmu dan mencari peluang baru yang membolehkan aku selalu berada di negara Kiwi ini sambil membawa diri dan mencari ketenangan. Haiihhhhhh…….lain ‘machiam‘ misi kali ini.

Sepatutnya jadual asal aku ke sana sama seperti tiga tahun lepas 19th October 2019 tetapi disebabkan beberapa faktor ,jadual dilewatkan sedikit ke 22nd October 2019. Jika tidak, sudah tentu aku catatkan keajaiban ini dalam lirik lagu Suratan Atau Kebetulan .

Baik ,sudah-sudahlah itu bermadah meluat orang baca nanti. 😊

Berbalik kepada tajuk asal  perkongsian hari ini, aku sebenarnya ingin berkongsi dengan pembaca bagaimana melalui pembacaan dan analisis peta boleh membantu kita merancang perjalanan ke New Zealand .

Aku akan navigate pembaca bagaimana cabang-cabang idea dan ilmu itu bakal berkembang ,apabila kita memulakan  kajian melalui peta yang seterusnya akan mengemudi minda kita untuk mengorek lebih banyak maklumat sebelum memulakan perancangan  ke New Zealand.Kalau diikutkan, meneroka negara lain juga memerlukan kajian peta , tetapi kali ini aku akan fokus pada New Zealand.

1.Jarak Malaysia ke New Zealand

Dengan memulakan kajian kedudukan geografi negara New Zealand dari sudut peta dunia, kita akan dapat gambaran kasar jarak dan lokasi New Zealand dari negara asal kita dan negara-negara jiran yang berdekatan. Jarak dari Malaysia ke New Zealand secara kasarnya ialah 8839.61 km. Jadi sudah boleh dapat gambaran berapa jauhnya perjalanan yang bakal kita terokai nanti.

2.Mengenali Negara Jiran dan Perancangan Transit

Seterusnya , setelah  kenalpasti jarak dan negara jiran berdekatan , kita  boleh merancang untuk singgah atau transit ke mana-mana bandar di negara jiran tersebut. Negara terdekat dengan New Zealand ialah Australia. Jadi kita juga boleh ambil kesempatan ini untuk merancang melawat negara tersebut.Orang kata ‘ sambil menyelam minum air ’.

Benda mudah macam ini memang kita kena beritahu. Jangan terkejut ada juga sejenis manusia  ‘bimbo’ yang mungkin langsung tidak ada idea di mana terletaknya New Zealand.

Disamping itu, dengan mengenalpasti kawasan berdekatan , kita juga boleh mengelak untuk transit ke bandar atau  negara tertentu yang sedang dilanda perang, bergolak  atau not that friendly dengan negara asal kita . Bukan hendak buruk sangka, tetapi langkah-langkah keselamatan juga penting dalam perancangan kita.

3.Mengenali Pulau-Pulau di New Zealand

Langkah seterusnya , kita kecilkan skop dan zoom in pada pulau-pulau di New Zealand. Didapati ada lebih kurang 600 pulau di New Zealand termasuk pulau-pulau kecil , tetapi pulau-pulau utama di New Zealand ialah North Island dan South Island berdasarkan jumlah populasi tertinggi dalam negara. Selama ini aku fikirkan ada dua pulau sahaja , rupanya 600.

4.Populasi Penduduk di New Zealand

Seterusnya, kita akan mula terfikir berapa jumlah populasi di North dan South Island ? Mengapa hanya dua pulau sahaja tumpuan utama. Hasil carian kita dapati data di bawah.

4.1  North Island/Te Ika-a-Māui      (Nama Maori)   ;  Populasi : 3,749,200

4.2  South Island/Te Waipounamu (Nama Maori)   ;  Populasi : 1,135,500

Melalui data populasi ini, ia boleh merungkai jawapan kepada faktor yang menyumbang kepada jumlah tertinggi populasi di New Zealand. Jika kita sejenis yang suka  melawat kawasan urban , boleh memilih North Island dimana terletaknya Auckland sebagai bandar paling ramai penduduk iaitu 1/3 daripada jumlah populasi di New Zealand & Wellington sebagai ibu negara New Zealand.

Ia membantu kita membuat keputusan bahagian pulau mana yang menjadi pilihan untuk dilawati.Untuk rujukan boleh lihat wikipedia ini https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_islands_of_New_Zealand .

5.Sumber Terperinci Peta.

Kemudian , kita akan mula tercari-cari dimanakah sumber yang betul untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang peta North & South Island New Zealand ini.Maka kita pun teruskan pencarian dan berjumpa dengan website yang membolehkan kita mengkaji dengan lebih dalam lagi.Aku terjumpa dengan website ini , https://www.newzealand.com/my/form/request-a-map/ .

Hasil carian ,  kita dapati ada dua pilihan peta yang boleh kita kaji.

5.1 Pilihan : Peta Soft Copy.

Peta ini boleh dimuat turun  dari laman web di atas , maka bolehlah kita mula mengkaji , meneropong, dan merenung maps itu sampai juling-juling mata dan kaji lokasi-lokasi yang kita telah  target. Mesti kita sudah ada wish list tempat yang kita dah target hendak lawati bukan ? Jadi inilah masa untuk berkenalan.

5.2 Pilihan : Peta Hard Copy@Paper Maps

Kalau sejenis oldschool , boleh sahaja menggunakan paper maps .  Boleh register di website yang di kongsi tadi dan request untuk post ke alamat rumah di Malaysia. Ada aku kongsikan apa yang anda bakal terima dari postage tersebut. Baru lah ‘fefeeling‘ dapat surat cinta dari New Zealand. Moga makin bercambah rasa cinta dan keterujaan pada negara yang kita bakal lawati itu.

Sebenarnya bagus juga standby paper maps di zaman digital dan teknologi canggih ini. Sebabnya kita tidak tahu apakah potensi tragedi yang kita bakal hadapi. Mana tahu, phone tiba-tiba masuk air. Tengah seronok photoshoot lompat-lompat dan selfie  di Lake Tekapo, New Zealand  boleh pula tercampak phone ke dalam tasik. Hendak dijadikan cerita , masa itu juga phone kawan  habis bateri. Bukankah dinamakan ‘Tragedi Oktober’ nanti.

Ehh kebetulan pula kita hendak ke sana Oktober.Tetapi harapannya janganlah ada tragedi.Maka paper maps inilah bakal jadi penyelamat nanti.😊

6.Maklumat Senarai Lapangan Terbang

Melalui peta tadi , kita juga boleh mengenalpasti di mana kawasan yang ada Lapangan Terbang Antarabangsa & Lapangan Terbang Domestik. Maklumat ini sangat berguna untuk kita merancang route penerbangan dan pembelian tiket untuk ke destinasi yang bakal kita lawati. https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_airports_in_New_Zealand

7.Cara Plot Maps

Selepas mendapatkan gambaran kedudukan tempat-tempat menarik yang bakal kita kunjungi, kita sudah boleh mula memplotkan tempat idaman yang ingin dikunjungi melalui ‘ Google Maps > Create Maps’.Contohnya ada aku tunjukkan dalam gambar.

Kali ini aku memilih South Island. Antara route yang aku pilih ialah melalui Christchurch-Lake Tekapo-Mount Cook-Wanaka-Queenstown-Glenorchy-Te Anau-Milford Sound-Waihola-Tunnel Beach-Dunedin-Oamaru-Christchurch. Maps yang sudah siap , kita boleh simpan dan jadikan rujukan semasa travel nanti.

8.Jarak Destinasi Dari Satu Tempat Ke Tempat Yang Lain.

Selepas plot maps , kita pastinya sudah mula mencari maklumat jarak anggaran dan masa perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang kita telah sasarkan.Boleh sahaja gunakan website https://www.google.com.my/maps/ dan letakkan lokasi dari satu ‘point ke point‘ lain.

Maklumat ini amatlah penting untuk mengelakkan kita tersalah buat perancangan dan mengambil kira faktor seperti hotel yang kita telah tempah, cut off time ambil dan pulangkan kereta sewa , lokasi camping dan sebagainya. Terutamanya di kawasan South Island , jarak perjalanan agak jauh iaitu memakan masa dalam 2, 3 hingga ke 4 jam jarak pemanduan.

Untuk melancarkan lagi perjalanan, seeloknya kita letak nota dalam draft itinerari yang bakal kita buat nanti.Contoh seperti dibawah. Ini sangat membantu memudahkan urusan kita semasa travel nanti.Jika hendak adjust plan juga sudah senang , sebabnya kita ada gambaran jarak perjalanan.Maklumlah, tidak semestinya apa yang kita rancang semuanya berlaku tepat ikut itinerari .

Untuk makluman tambahan, memandu waktu malam di New Zealand sebenarnya tidaklah begitu digalakkan terutamanya di kawasan pedalaman  . Boleh dikatakan seperti memandu dalam keadaan buta sebab lampu jalan tidak berapa terang malah ada yang tiada lampu di sepanjang jalan. Silap haribulan korang boleh memandu masuk tasik atau gaung .Jadi , pastikan sudah sampai ke destinasi tempat tinggal yang dirancang sebelum hari beransur gelap.

Kehidupan warga New Zealanders ini terutamanya di sebelah selatan, sejenis yang mengutamakan kehidupan berkeluarga selepas tamat waktu bekerja.

Tidak seperti waktu bekerja sebagai Engineer di Malaysia. Kadang-kadang kerja sampai jam 12 tengah malam, bawa laptop atas katil sambil memeluk erat laptop dan berdebar menunggu ‘wasap’ kerja masuk meminta untuk di update status kerja dan sentiasa bersedia dengan action plan sambil merayu Engineer dan Manager lain untuk support sampai ke tengah malam dan di hujung minggu,  pun gaji masih di paras hidung.

Fuhhhhhhhhhhhhhhhh, habis satu nafas luahan terpendam aku . Eh, macam cakap depan cermin pula..Hahahahahahaha. 😉

Bagaimana , seronok kan baca peta ? Secara tidak langsung akan navigate minda kita untuk mengkaji langkah dan maklumat seterusnya .  Kita ambil konsep ‘zoom in’ dari perspektif peta. Faham ke faham  ? Kalau tidak faham , maksudnya kena banyak lagi mengembara, supaya lebih terbuka minda…Hehehehe.

Ok, baiklah sekian dahulu penulisan kali ini. Sebabnya , jari-jemari aku juga perlu merehatkan diri. Penat juga menulis , tetapi seronok rasanya dapat luahkan dalam bentuk penulisan seperti ini.Rasanya kali terakhir aku buat penulisan panjang berjela ialah semasa membuat thesis demi menggenggam segulung ijazah. Sudah berapa tahun pula aku tinggalkan. Format juga sudah lama aku lupuskan dari ingatan. Hahahahahahah.

Semoga bermanfaat dan berlapang dada terima pendapat aku kali ini. Di lain masa , aku kongsikan lagi tips-tips lain.

Zarida Ridzan@Dot #ProjekTourLeader #TL202 #ProtegeTL202 #NewZealand #KiaOra #Kofnikel #Kofnikel202

Design a site like this with WordPress.com
Get started